DISEMBER 2021

Beralih Perniagaan Kepada Ekonomi Digital - Awang Tengah


LAWAS: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif dan bantuan disediakan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 dan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19(PCDS) 2030 untuk menggalakkan usahawan mengalih perniagaan ke arah ekonomi digital.

Katanya, ini akan merealisasikan aspirasi Sarawak ke arah wilayah berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Usahawan Sarawak perlu memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital dan mengalihkan perniagaan ke arah ekonomi digital, katanya melancarkan Digital Go di sini.

"GO Digital menyasarkan untuk mempercepatkan transformasi digital dalam kalangan usahawan Sarawak untuk meningkatkan kecekapan prestasi perniagaan mereka dan membolehkan mereka bersaing di persada global," tambahnya.

Hadir sama Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED), Dzulkornain Masrom, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC), Sudarnoto Osman dan Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi.

Awang Tengah turut menyampaikan replika cek kepada dua penerima pakej GO Digital yang berpengkalan di Lawas dan replika cek daripada MINDTRED serta pihak AgroBank kepada usahawan kumpulan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana di Lawas.

Sumber dari : Jiwa Bakti